Guru PASTI lebih dekat dengan sasaran – Ketua Pemuda
KEMAMAN, 16 Julai : Pekerjaan sebagai seorang guru cukup mulia di sisi masyarakat, malah profesion ini digambarkan dalam satu ungkapan yang cukup sinonim dengan jasanya, iaitu 'guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi malam, merelakan diri terbakar bagi menerangi alam'.
Bertempat di Markaz Tarbiah Bukit Mentok, PASTI Kawasan Kemaman telah mengadakan Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Kemaman 2011. Program tahunan ini dihadiri sekitar 90 orang terdiri daripada guru-guru dan jawatankuasa pengurusan PASTI peringkat qaryah.
Puan Hasnah Abu Bakar selaku Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Kemaman dalam ucapan pembukaan mengingatkan guru-guru agar sentiasa bersemangat ketika menjalankan tugas. Beliau juga menyeru guru-guru supaya sentiasa menambah ilmu tidak ketinggalan dalam mengikuti isu-isu terkini.
Mengulas mengenai Hari Guru, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ustaz Hishamuddin Abdul Karim memberi penekanan peranan guru PASTI sebagai ranting penting dalam gerakan Islam di Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi PASTI kawasan Kemaman menyeru semua guru PASTI mempertingkatkan keterlibatan dalam jemaah induk parti agar momentum BERSIH 2.0 berterusan dan diperhebatkan.
Menurutnya lagi, tahanan BERSIH 2.0 dari Terengganu adalah yang tertinggi seramai 313 orang menunjukkan semangat untuk menggapai kemenangan sedang membara dikalangan rakyat. Jumlah tersebut menyamai bilangan tentera Islam dalam peperangan Badar. Oleh itu, mengambil semangat tentera Badar, beliau menggesa guru-guru agar dapat mencari ruang di cawangan masing-masing untuk memberi khidmat bantuan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Selaku ketua DPPKK, beliau juga mengulangi bahawa DPPKK akan tetap menyokong sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon PRU13. Bukan tugas DPPKK menentukan calon, tetapi akan bekerja keras membantu kemenangan mana-mana calon yang telah diberi amanah oleh kepimpinan tertinggi PAS.
Sementara itu, YDP PAS Kemaman, Tuan Haji Ismail Harun dalam ucapan perasmian beliau menyeru semua pihak samada guru atau jawatankuasa pengurusan qaryah agar melihat kembali sejarah dan tujuan penubuhan PASTI.
Beliau antara lain menyebut bahawa tujuan penubuhan PASTI selain dari menerapkan ilmu peringkat pra sekolah berasaskan sistem pendidikan yang bertunjangkan syariat, ia juga bertujuan menghasilkan seberapa ramai aktivis-aktivis yang akan menjadi pendokong gerakan Islam.
Menurutnya lagi, segala kerja akan menjadi mudah apabila ahli-ahli memahami takrif iman iaitu : Membenarkan dengan hati, Ikar dengan lisan, dan Beramal dengan anggota badan.
Sempena program itu, jawatankuasa pengurusan PASTI Kemaman menyerahkan sumbangan kepada semua guru/pembantu PASTI dan pemain-pemain dari Kontinjen PASTI Kemaman yang menjuarai Sukan PASTI peringkat Negeri Terengganu.
Category: Program
0 comments